Kegemilangan Kesultanan Johor Kesultanan Johor-Riau

Pentadbiran Empayar Johor

Kesultanan Johor meneruskan sistem pentadbiran terdahulu seperti yang diamalkan di Melaka. Kuasa pemerintah tertinggi ialah Yang di-Pertuan yang dikenali juga sebagai Sultan. Sultan dibantu oleh Majlis Orang Kaya yang berperanan menasihati Sultan. Ahli majlis ini ialah Bendahara, Temenggong, Laksamana, Shahbandar dan Seri Bija Diraja. Pada kurun ke 18, Bendahara tinggal di Pahang dan Temenggong Johor di Teluk Belanga, Singapura. Setiap mereka berperanan mentadbir kawasan mereka itu dengan kuasa yang diberikan oleh Sultan Johor. Oleh itu, kuasa pusat Empayar Johor dipecahkan.Ia menjadikan Empayar Johor terdiri dari 4 vasal/wilayah pegangan atau wilayah yang dipertanggungjawabkan kepada pembesar tertentu. Wilayah Muar dibawah Raja Temenggung Muar, Pahang dibawah kekuasaan Bendahara Johor, Riau dibawah Yang Dipertuan Muda dan tanah besar Johor dan Singapura dibawah kekuasaan Temenggung Johor.Sultan hanya berkuasa di Lingga dan pulau-pulau sekitarnya sahaja.Seluruh empayar Johor diketuai oleh Sultan yang bersemayam di Pulau Lingga. Semua Orang Kaya kecuali Raja Temenggong Muar melapor terus kepada Sultan, Raja Temenggong Muar adalah berdaulat dan diakui oleh Sultan kerana Muar adalah jajahan yang dikurniakan oleh sultan kepada pembesar yang bergelar Dato' Pasir Raja.Muar kemudiannya diambil oleh Sultan Abu Bakar dari wangsa Temenggung dengan syarat dibayar pencen setiap bulan kepada pewaris Raja Temenggong Muar untuk selama-lamanya.

Pengaruh Empayar Johor

Sebagai Kesultanan menggantikan Kesultanan Melayu Melaka, maka pengaruh wilayahnya meliputi semenanjung selatan Malaysia, bahagian selatan-timur Sumatera dan Kepulauan Riau dan kawasan sekitarnya. Empayar ini termasuk negeri Pahang, Muar, Johor darat, Kepulauan Riau dan Pulau Lingga. Pentadbiran pusat kekuasaan telah beberapa kali berpindah di Sayong Pinang, Kota Kara, Seluyut, Johor Lama, Batu Sawar dan Kota Tinggi, semua di Johor darat dan kemudian ke Riau dan Pulau Lingga. Kemudian beralih dengan kelahiran Kesultanan Johor moden di Tanjung Puteri, yang sekarang dikenali sebagai Johor Bahru.

Karya Sejarah